Tafsir Surah An Nashr

Surah An Nashr termasuk surah Madaniyyah (QS.110 : ayat 1-3)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (1)

وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai (2)

فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat (3)

Surah Nashr dan Kelebihannya

Surah ini dinamakan surah an-Nasr kerana surah ini dibuka dan dimulakan dengan firman Allah (bermaksud) : “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan”.

Dinamakan al-Futuh bermaksud pembukaan atau kemenangan sempena kota Makkah al-Mukarramah berjaya dibuka dan dikuasai.

Juga dikenali sebagai surah al-Tawdi’ , yakni bermakna perpisahan atau selamat tinggal

Surah al-Nasr menyamai seperempat al-Qur’an.
Dari Hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’I daripada `Ubaidullah Ibn `Abdullah Ibn `Utbah berkata:
Ibn `Abbas telah berkata kepadaku:
“Wahai Ibn `Utbah, adakah kamu mengetahui surah yang terakhir diturunkan di dalam al-Qur’an?
Aku menjawab: “Ya! yaitu surah al-Nasr.”
Beliau berkata: “Benar katamu itu”.

Di dalam surah al-Nasr, Allah menjelaskan bahwa agama golongan kafir akan lenyap.
Allah akan memberikan kemenangan dan kejayaan selepas ujian dan halangan (Surah al-Lahab menceritakan banyak halangan yang akan dilalui dalam berdakwah).

Surah yang pendek ini membawa berita gembira kepada Rasulullah saw yaitu berita ketibaan pertolongan dari Allah dan kemenangan membuka negeri Makkah dan sambutan berduyun-duyun memeluk agama Allah.

Surah ini juga memberi arahan kepada Rasulullah saw supaya bertawajjuh kepada Allah dengan tasbih, tahmid dan istighfar ketika berita-berita yang mengembirakan itu menjadi kenyataan.

Surah ini juga membayangkan ajal Rasulullah saw.
Tugas Nabi Muhammad saw telah sempurna.

Dari Ibn `Abbas, ujar al-Imam al Bukhari: Umar al-Khattab ra telah memasukkan aku ke dalam kumpulan tokoh-tokoh peperangan Badar (sedangkan Ibn `Abbas adalah jauh lebih muda berbanding tokoh berkenaan).
Sebagian mereka seolah-olah tidak setuju dalam hati mereka, lalu berkata: “Mengapa dimasukkan anak kecil ini (Ibn Abbas) bersama kami dan kami juga ada anak-anak yang sebaya dengannya? Jawab `Umar: “Dia adalah anak yang telah kamu kenal juga”.

Pada suatu hari `Umar menjemput mereka, lalu dia masukkan aku bersama mereka untuk memperlihatkan kebolehanku kepada mereka, lalu dia berkata: “Apa pendapat kamu tentang maksud firman Allah `Azzawajalla:

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan
Jawab sebagian dari mereka. “Allah menyuruh kita bertahmid dan beristighfar kepada-Nya apabila ia menolong dan memberi kemenangan kepada kita.”

Lalu `Umar berkata kepadaku: “Adakah pendapat engkau begitu juga, wahai Ibn `Abbas? Jawabku: ” Tidak” …

Lalu dia terus bertanya: “Apakah pendapat engkau?” ..
Jawabku: “Itulah ajal Rasulullah saw yang diberitahu Allah kepadanya.

Firman Allah: `Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan’, maka itulah alamat ajal engkau. Oleh itu hendaklah engkau bertasbih memuji Tuhanmu dan beristighfar memohon keampunan-Nya, sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.”
Kata `Umar ibn al-Khattab: “Aku tidak mengetahui maksud ayat ini melainkan apa yang dikatakan engkau.”
(Riwayat al-Bukhari).

Imam Ahmad, Baihaqi dan al-Nasa’i meriwayatkan daripada Ibn `Abbas bahwa beliau berkata: Ketika diturunkan ayat (maksudnya): “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,”
Nabi saw telah berkata ;
“Nampaknya sampailah sudah ta’ziah awal bagiku”.
Berikutan dengan itu Nabi saw telah diwafatkan oleh Allah swt pada tahun yang sama dengan turunnya ayat tersebut.

Wallahi a’lamu bis-shawaab

Leave a Reply